Friday 26 April 2013

Ahad {21/4/2013} Kisah Bakul Berwarna Merah Jambu


Teks:  Sarimah Deeply Adzrina
Image: Koleksi Peribadi


Disini saya ingin berkongsi cerita yang saya anggap agak lucu juga kalau difikirkan.  Biasalah hujung minggu selalunya yang berkeluarga mahupun bujang akan merancang aktiviti masing-masing. Samalah dengan seorang kawan saya ini yang saya kira dah hampir setahun tak jumpa.  Maklumlah masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing.  Suatu petang kawan saya ini telah menghantar pesanan ringkas (sms) kepada saya, seperti biasa bertanyakan khabar dan seterusnya berbalas-balas pesanan ringkas sehinggalah dia merancang nak ajak saya keluar makan tengahari di hujung minggu disebuah restoran.  Saya pun setuju memandangkan saya pun dah lama sangat tak jumpa dia.  Dalam fikiran saya, tentu banyak cerita yang nak dikongsi bersama setelah sekian lama tak jumpa. Hujung minggu dah tiba dan seperti yang dijanjikan kami pun bertemu dan menikmati makan tengahari dengan perasaan yang cukup gembira dan bermacam-macam cerita kami kongsi bersama.

Setelah selesai menikmati makan tengahari, kawan saya itu mengajak saya membeli belah di sebuah gedung yang menjual barang-barang buatan daripada negara jepun.  Disebabkan keseronokan melihat barang-barang yang cantik dan berkualiti itu, semasa kami memasuki gedung membeli belah itu,  tanpa kami sedari terlupa nak ambil bakul untuk meletakkan barang-barang yang hendak dibeli. Kami terus ke seksyen barang-barang untuk membuat kek dan memilih-milih barang sehinggalah baru kami perasaan kami tak mengambil bakul yang telah disediakan oleh gedung tersebut untuk kemudahan pelanggan.  Tiba-tiba dekat seksyen barang-barang kek itu, kami terpandang sebuah bakul berwarna merah jambu, jadi sangkaan kami bakul itu memang dikhaskan oleh gedung tersebut.  Kami pun mengambil bakul tersebut dan mengisi barang-barang yang hendak kami beli sambil pusing-pusing melihat barang-barang lain.  Dah hampir sejam juga kami didalam gedung tersebut dan akhirnya kami ke kaunter pembayaran.  Juruwang sibuk mengira harga barang-barang yang hendak dibayar sehinggalah penghabisan sekali, juruwang tersebut pun kira sekali bakul warna merah jambu itu.  Kawan saya terus memberitahu juruwang bahawa kenapa dia kira sekali bakul itu? Juruwang agak kebingungan dan memberitahu bahawa bakul warna merah jambu itu untuk dijual bukan bakul untuk letak barang.  Sambil menunjuk kesuatu sudut, juruwang itu memberitahu bahawa bakul untuk meletakkan barang-barang yang hendak dibeli adalah warna hitam.  Kami tergelak besar dan buat muka bodoh.  Keluar saja daripada gedung tersebut, kita berdua tergelak besar.


Koleksi Peribadi


Bila sampai ke kereta, kawan saya bagi kepada saya bakul warna merah jambu itu sebagai kenangan katanya. Jadi dalam perjalan balik ke rumah, tiba-tiba terfikir dalam fikiran saya bahawa saya akan buat entri tentang bakul warna merah jambu ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...