Teks: Sarimah Deeply Adzrina
Image: Google
Google Image |
Jenama bukan sahaja pada barang tetapi diri kita juga boleh dijenamakan. Mempunyai kelayakan dalam akademik, kerja yang berkualiti, komitment yang tinggi dan bersikap profesional belum cukup melengkapkan pakej diri dalam aspek kerjaya.
Bagaimana melangkah ke alam pekerjaan, selain keyakinan dan kebolehan diri yang tinggi, kita juga harus bijak menjenamakan diri atau branding, ia kedengaran agak 'gah' tetapi tahukah anda bahawa elemen itu perlu untuk anda melangkah dengan lebih yakin dalam bidang diceburi. Tentu anda pernah membaca atau mendengar tentang masalah pekerja yang tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi, tidak menonjol serta tidak pandai menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan serta masalah berkomunikasi.
Beberapa teknik penjenamaan yang boleh dipraktikkan seperti berikut:-
Membina Jenama Peribadi
Mencari-cari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan dan pengalaman yang ada, komoditi anda ada satu-satunya syarikat yang membolehkan mereka memilih anda sebagai pekerja dan anda haruslah menyediakan pakej diri yang menarik bagi membolehkan anda diterima sebagai pekerja. Biasanya orang yang akan menemubual anda akan membuat interpretasi tentang diri anda berdasarkan pandangan pertama.
Contoh: walaupun bertudung, anda masih nampak menawan. Tidak perlu mengadai prinsip diri serta agama dengan berpakaian yang tidak sepatutnya. Cukup dengan pakaian gaya muslimah, aksesori dan dandanan yang sederhana tapi kelihatan cukup menawan dan sesuai dengan jawatan yang hendak dipohon.
Peranan Penampilan Dalam Membentuk Penjenamaan
Jenama bermula dengan cara pembawaan diri anda, cara berpakaian, berjalan dan bercakap yang sememang menjadi perhatian umum. Pastikan anda mencipta aura yang positif serta bersedia untuk lebih teruja melihat perubahan diri seperti yang anda sangkakan. Jangan lupa senaraikan kelemahan diri serta cari langkah untuk mengatasinya.
Jadilah Seorang Yang Trendy
Walaupun anda seorang yang bertudung, tak semestinya anda tak berpeluang mencipta gaya sendiri, anda harus kreatif atau 'trend setter' untuk pakaian muslimah masa kini. Trendy maksudnya jangan berlebihan, cukup dengan penampilan yang sopan dikenakan dengan pemakaian aksesori, kasut, warna, fabrik dan tudung yang digayakan. Kebersihan diri juga harus diutamakan.
Kenali Dan Nilai Diri Sendiri
Dalam usaha membina penjenamaan diri, asas penting yang perlu diambil kira ialah anda perlu kenal siapa diri anda. Jika anda sendiri tidak dapat menilai diri anda sendiri, amat sukar untuk anda membuat perancangan dalam hidup. Seseorang yang tahu kelebihan diri dan mempunyai tahap keyakinan diri yang tingggi, biasanya tahu yang diri mereka cukup berharga. Tahu hala tuju hidup dan mempunyai perancangan rapi bagi menyerlahkan bakat dan kebolehan diri sendiri bagi menghasilkan sesuatu yang berkualiti.
Kesimpulannya, penjenamaan diri sebenarnya boleh dilakukan semanjak kita dizaman sekolah lagi. Misalnya anda cukup terkenal dengan nama 'pelajar popular' atau sebagainya. Walaupun kadang-kadang ada pro dan kontra, anda perlu lihat daripada segi pro. Ambil yang baik, buang yang buruk. Sejauh manapun sekalipun anda berusaha untuk menjenamakan diri, sesekali jangan dilupakan atau alpa kepada asasnya iaitu hidup perlu berlandaskan keimanan Islam agama yang sempurna bagi kita membentuk hidup yang berjaya di dunia mahupun akhirat.
Untuk penulisan entri ini banyak sumber maklumat saya rujuk daripada buku Nur, Majalah Midi dan Majalah Harmoni
No comments:
Post a Comment