Tuesday, 30 April 2013

Selasa [31/4/2013] Keterujaan Dalam Bidang Fesyen


Teks:  Sarimah Deeply Adzrina
Image:  Koleksi Peribadi


Semasa kita kecil tentu kita semua  mempunyai minat atau hobi kan? Tentu saja impian kita itu akan kita laksanakan apabila kita besar nanti. Sama seperti saya, semasa kecil sangat teruja dengan pakaian yang cantik-cantik. Masih teringat lagi waktu zaman kanak-kanak apabila saya melihat ibu saya menjahitkan pakaian untuk kami adik beradik perempuan.  Masa itu kain ela jenis cotton agak murah dan ibu saya membelinya sekali sepapan satu warna.  Jadi ibu akan menjahit baju kami semua sama kain dan warna.  Dalam masa yang sama, saya dan adik beradik perempuan akan membantu ibu apa yang patut.  Selalunya ibu akan menyuruh saya menjahit butang, tepi lengan dan bawah baju dengan jahit tangan.  Pada saat itu kami adik beradik berasa cukup gembira dan senang hati kerana akan memakai baju baru dengan warna dan bunga yang sama.  Masa itu, kami adik beradik tidak merasa malu mengenakan pakaian sedondon malah merasa bangga kerana baju-baju kami dihasilkan sendiri oleh ibu kami.

Koleksi Peribadi
Masih segar dalam ingatan saya bagaimana ibu nak memulakan untuk membuat baju kami adik beradik.  Pertama ibu akan menyukat badan kami 4 orang perempuan mengikut saiz masing-masing dengan menggunakan tali pengukur.  Ibu akan membasuh kain cotton terlebih dahulu, dikeringkan dan selepas itu ibu akan menggunakan strika yang telah dimasukkan arang yang telah dibakar terlebih dahulu [pada masa itu belum ada strika seperti sekarang ni] agar kain cotton itu mudah dipotong dan tak berkedut.  Ibu akan membuat 4 pola pakaian  kerana mengikut saiz kami 4 adik beradik perempuan terlebih dahulu dengan menggunakan surat khabar (pada masa itu belum ada kertas khas untuk memotong kain  seperti sekarang ini).  Setelah selesai membuat pola pakaian tersebut, ibu akan bentangkan kain dan meletakkan pola diatas kain dan memotongnya mengikut pola yang telah disediakan. Setelah selesai memotong kain tersebut, biasanya ibu akan melipat satu persatu dan meletakkan kesuatu sudut dengan penuh teliti.  Kami adik beradik amat kagum dengan kepakaran yang ada kepada ibu kami.  Ibu kami hanya belajar asas menjahit di kampung halaman kami yang dinamakan pada masa itu sekolah sains rumahtangga.

Mungkin kerana kami selalu membantu ibu menjahit maka timbul lah minat yang mendalam tentang fesyen.  Memandangkan suatu masa dahulu keluarga kami bukan lah orang yang senang maka niat untuk memasuki sekolah menjahit atau pereka fesyen sepenuhnya agak terhad dan minat saya itu dipendamkan begitu sahaja sehinggalah saya dah berkerja dan mempunyai kewangan yang agak kukuh baru lah timbul kembali minat yang sekian lama terpendam itu.


Koleksi Peribadi

Tekad mengambil cuti tanpa gaji daripada majikan tempat saya berkerja hanya kerana hendak memasuki kelas yang mengendali bidang rekaan dan fesyen walaupun bagi saya mengambil risiko yang agak berat akan tetapi saya memang terlalu minat dalam dunia fesyen dan ditambah pula saya dah mempunyai asas sedikit tentang jahitan.  Fesyen adalah sesuatu yang melibatkan pakaian juga yang boleh mempengaruhi gaya kehidupan setiap insan dalam apa peringkat atau kategori sekalipun. Fesyen juga seringkali berubah-ubah mengikut aliran semasa.  Dengan dunia fesyen, kita boleh melihat gaya seseorang berpakaian  serta perwatakan  yang boleh mengandaikan seseorang itu tentang status diri nya, gaya hidup dan apa keutamaan diri nya. Penceritaan tentang fesyen ini memang tak akan pernah habis samada kaum hawa ataupun kaum adam, dah menjadi satu fenomena disana sini.

Syukur alhamdulillah apa yang saya impikan menjadi kenyataan dan ini lah hasil rekaan saya dibawah label Sarimah Adzrina. Fesyen adalah sesuatu yang boleh menjadikan seseorang kreatif dan inovatif.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...